Alhamdulillah, tahun ini tahun ketiga saya bergelar guru tuisyen. Sambutan para pelajar sangat memberangsangkan dari hari ke hari. Saya pada mulanya bukanlah seorang yang minat untuk mengajar pada awal kerana saya lebih minat berniaga tetapi rezeki Allah tulis dalam bidang mengajar. Pada mulanya bukan niat nak mengajar tapi sekadar mahu menolong adik saya yang kedua bongsu yang jarang ke sekolah.
Ketika itu, saya baru berada di tahun akhir pengajian pada akhir 2014. Setelah tamat belajar, saya pulang ke rumah dan berfikir untuk berniaga dan kemudian menyambung lagi pengajian ke peringkat Master jika ada rezeki. Sepanjang saya berada di rumah, saya melihat adik saya ini selalu tidak pergi ke sekolah dan darjah lima masih lagi tidak boleh membaca.
Jadi saya begitu hairan melihat dirinya yang tidak boleh membaca sedangkan kami semua ketika darjah lima dah boleh membaca dan menghafaz surah-surah tertentu. Umi saya sudah puas menghantar tuisyen membaca tapi masih lagi tidak boleh dan selalu lemah semangat. Dia selalu demam, pening dan tidak mahu ke sekolah.
Di antara pelajar yang paling banyak tinggal sekolah ketika di darjah lima. Disebabkan kesian dengan dirinya, saya mengambil keputusan untuk mengajarnya di rumah. Setelah saya mengajarnya dan saya selalu mengkaji kenapa ada anak-anak yang seperti ini. Akhirnya, saya perasan yang adik saya ini ada sedikit gangguan pada pembelajaran iaitu kesulitan membaca, menulis atau mengeja. Ianya dikenali sebagai disleksia.
Tapi pada kes adik, saya boleh mengecam dia ada masalah ini melalui penulisan dan membaca iaitu apabila dia menulis dan membaca, dia akan tertukar antara huruf "b" dengan "d" . Dari situ saya mula memahami keadaan dia dan membantu dia dengan mengajarnya mengulang huruf-huruf tersebut dan bentuk tulisan ataupun bacaan.
Selain itu, saya menggunak kad flash iaitu menulis huruf dalam kertas berwarna- warni dan membeli buku-buku cerita yang pendek dan menyuruhnya membaca setiap hari terutamanya sebelum tidur. Dalam masa yang sama, saya juga mengamalkan amalan yang dikongsi oleh ustaz tentang cara nak bagi anak-anak terang hati.
Jadi, setiap pagi sebelum ke sekolah, saya akan membuat air kegemarannya dan kacau mengikut tawaf Kaabah sebanyak 7 kali disertai selawat serta membaca Ya Allah Ya Hakim ( Maha Bijaksana) sebanyak 7 kali dan ditiup dalam minumannya. Alhamdulillah saya istiqamah melakukannya selama 6 bulan. Akhirnya, dengan izin Allah, adik saya sudah boleh membaca dan pada tahun 2015, dia menduduki UPSR.
Akhirnya, dia kembali yakin kepada dirinya dan mula rajin ke sekolah. Dia sudah mula minat belajar dan tidak pernah tinggal waktu persekolahan sehingga guru-guru pun gembira tengok perubahan dirinya. Keputusan UPSR sangat membanggakan saya daripada tak pandai membaca, dalam masa 6 bulan boleh membaca dan keputusan Bahasa Melayu (Pemahaman) adalah B dan Bahasa Melayu (Penulisan) adalah A.
Bermula saat itu, suatu perasaan kepuasan dalam mengajar bukan soal keputusannya tapi apabila anak didik berjaya dalam belajar yang membuktikan diri mereka sebenarnya GENIUS cuma terselindung di balik ketakutan pada minda mereka dan cara pembelajaran yang berbeza daripada kebanyakkan anak-anak lain. Jadi mulai saat itu, saya mula bersemangat mengajar walaupun saya tidak mengambil ramai pelajar tapi apa yang saya tekankan adalah kualiti pembelajaran seorang pelajar itu.
Sehingga kini, adik saya ini banyak bertanya soalan-soalan yang bukan di aras mindanya yang berumur 14 tahun tapi dia seorang yang sangat berdisiplin dan bertanggungjawab. Bagi saya yang belajar mengenai kuasa minda, saya memahami bahawa dirinya dominan otak kanan dan memerlukan sistem pendidikan yang tidak tertekan dan menyokong perkembanga mindanya.
Tetapi bagi saya, dirinya perlu dihantar ke sekolah yang sesuai agar dirinya dapat diajar untuk menyeimbangkan penggunaan otak kanan dan kiri. Di samping memiliki minda yang genius, dirinya perlu pandai memegang tanggungjawab bagi menyediakan dirinya menghadapi dunia yang makin mencabar saban hari.
Begitulah sedikit cerita tentang diri saya terjebak dalam bidang pendidikan secara tidak langsung kerana kesian dengan adik dan akhirnya menjadi sumber pendapatan saya hari ini. Kita merancang dengan cita-cita, Allah merancang deng cintanya. Alhamdulillah, rezeki Allah tertulis sebagai guru tuisyen.
Sepanjang mengajar, saya memahami hakikatnya, anak-anak ini dilahirkan sebagai genius dan tiada istilah GAGAL yang ada hanya MAKLUM BALAS untuk diperbaiki pada masa depan. Sekian dahulu untuk perkongsian kali ini.
Karimah Abdullah
Kuasai Minda & Hati
Pasti Akan Kuasai Dunia
No comments:
Post a Comment