Sunday, 29 January 2017

Bahagia Di Hujung Jalan

Alhamdulillah, hari ini menerima khabar gembira dari negera seberang, Golok, Thailand. Kakak angkat saya selamat dihijabkabulkan dengan lelaki pilihannya. Alhamdulillah, akhirnya bertemu jodoh kakak saya ni, yang saya panggilnya sebagai Kak Zura.

Kak Zura merupakan anak ketiga daripada empat beradik kalau tidak silap saya. Saya pun telah sembilan tahun tidak berjumpa beliau, hanya mendapat berita melalui facebook. Mungkin kerana kesibukan masing-masing, lagipun jarak tempat yang jauh dari Kota Bharu ke Golok menyebabkan kami dah lama tidak bersua.

Apa yang saya nak kongsikan adalah ketabahan dan pengorbanan Kak Zura dalam menjalani kehidupan. Saya dan kelurga mula berkenalan dengan Kak Zura pada 2003 iaitu ketika adik bongsu saya dilahirkan. Umi saya memerlukan seorang pembantu bagi menjaga adik saya memandangkan umi pada ketika itu menghidapi penyakit darah tinggi. Jadi, nenek saya mencari orang di kampung tapi tiada dan ada saudara yang tinggal di Golok memberitahu ada seorang anak dara yang mencari pekerjaan sebagai pengasuh.

Ketika itu, Kak Zura berumur 20 an. Dia mula mengasuh dan membantu umi saya di dapur selama 2 tahun. Orangnya sangat baik dan bagus. Rupa-rupanya, sebelum datang bekerja di rumah saya, dia telah bekerja sebagai pengasuh di rumah orang di Terengganu selama 3 tahun. Jadi, dia telah mula bekerja ketika dia berumur 17 tahun.

Saya selalu berborak dengannya pasal keluarganya di Golok dan kenapa memilih datang bekerja di Malaysia. Dia menceritakan yang dia ada empat orang adik-beradik dan dia adalah kedua bongsu. Mak dan ayahnya dah meninggal dunia dan ketika itulah dia mula memegang tanggungjawab sebagai ibu dan ayah kepada adiknya. Dia ada abang dan kakak tetapi semuanya sudah bekeluarga dan kurang mengambil tahu mengenai dirinya dan adiknya.

Keadaan ini memaksa dia mencari kerja untuk menyara diri dan adiknya yang masih bersekolah. Abang-abangnya hanya dapat gaji yang cukup-cukup untuk menampung kehidupan diri dan isteri mereka. Akhirnya, Kak Zura membuat keputusan berhenti belajar dan bekerja tetapi ketika itu gaji yang diberikan sangat rendah di Golok dan tidak cukup untuk menampung kehidupan diri dan adiknya.

Jadi, dia mengambil keputusan untuk mencuba nasib di Malaysia. Dia mula bekerja sebagai pengasuh kerana dia tiada pengalaman untuk bekerja dalam bidang lain. Ketika, menjadi pengasuh di Terengganu, tuan rumahnya sangat baik dan mengajar Kak Zura sehingga pandai seperti memasak, mengemas dan menjaga anaknya yang kecil. Setelah anak tuan rumahnya besar, tuan rumahnya ingin berpindah ke luar negara dan akhirnya Kak Zura terpaksa berhenti dan balik ke kampung.

Setelah itu, diadatang bekerja d rumah saya untuk mengasuh adik saya selama dua tahun. Sepanjang, dia berada di sini, dia selalu menelefon tanya khabar adiknya yang ditinggal seorang diri di kampung dan tidak lupa untuk mengirim duit untuk perbelanjaan adiknya.

Selama dia bekerja di Terengganu, dia seorang yang sangat berjimat dan hasil titik peluhnya selama tiga tahun, dia mampu membeli motosikal untuk kegunaan adiknya untuk ke sekolah. Apabila mendengar ceritanya, saya sungguh terasa terharu, ada juga manusia yang berhati mulia sanggup memikul tanggungjawab sebagai ibu dan bapa dan megenepikan kepentingan diri sendiri. 

Selama dia bekerja di rumah, banyak perkara yang saya sangat kagum dengan Kak Zura ini. Dia seorang periang dan ceria dan tidak pernah kelihatan sedih pada wajahnya. Sesungguhnya, saya belajar tentang ketabahan hati dari seorang kakak dari dirinya.

Disebalik kesusahan yang di alami dirinya, tersirat seribu satu duka di wajahnya yang ceria dan periang. Dia pandai menyembunyikan masalah dari pengetahuan umi dan saya. Akhirnya, setelah dua tahun berkhidmat, dia minta kebenaran untuk berhenti kerana risau dengan adiknya yang sudah lama dia tinggalkan. 

Lagipun, dia perlu jaga anak saudaranya yang ditinggalkan oleh abangnya kepada adiknya dek kerana masuk penjara. Abangnya dipenjara kerana dianiayai oleh sahabatnya. Akhirnya, Kak Zura yang kesan dengan nasib abangnya, membenarkan anak saudaranya dan isterinya tinggal bersama merka di rumah pusaka milik ibu dan ayahnya.

Jadi dengan hati yang keberatan, kami melepaskan Kak Zura kerana memahami tanggungjawabnya terhadap keluarga. Pada tahun 2008, Kak Zura datang menjenguk saya dan adik-adik kerana umi meminta tolongnya untuk menjaga kami ketika abah dan umi menunaikan haji. Sesungguhnya, dia seorang yang baik hati dan dia datang kerana kesiankan umi walauoun ketika itu dia sudah bekerja sebagai tukang masak di kedai makan.

Dia sanggup tinggalkan  kerja dia di kedai makan selama lebih kurang tiga minggu kerana kesiankan kami. Walaupun sudah lama terputus hubungan tapi masih lagi mengikuti perkembangan dirinya melalui Facebook. Sekarang ini, dia dah menjadi usahawanita yang berjaya di Golok dan alhamdulillah akhirnya dirinya telah bertemu jodoh pada hari ini.

Saya sangat gembira dan bersyukur dengan berita ini kerana bagi saya dirinya seorang yang sangat baik hati dan bertanggungjawab. Sesungguhnya takdir Allah itu yang terbaik dan Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik dalam kehidupa seseorang hamba. Jodoh, ajal, rezeki dan maut adalah rahsia Allah tapi apa yang pasti kita lakukanlah sesuatu dalam kehidupan dengan cara terbaik kerana yang pasti akhirnya Allah akan beri yang terbaik untuk diri kita pada akhirnya. Itulah bahagia di hujung jalan walaupun pada mulanya jalannya begitu berliku. Berbahagialah wahai hati kerana kita berhak untuk berbahagia. Tahniah Kak Zura. Selamat berbahagia hingga ke jannah. Aamiin.


Karimah Abdullah
Kuasai Minda dan Hati,
Pasti Akan Kuasai Dunia.






No comments:

Post a Comment