Sunday, 22 January 2017

Kematian Yang Mengingatkan

Zila merupakan anak sulung daripada tiga beradik dan dibesarkan dalam keluarga yang sederhana. Semua keperluan dan kemahuan Zila, Zack dan Intan selalu sedaya upaya dipenuhi oleh kedua ibu bapanya.
Zila dibesarkan dalam keluarga yang mementingkan didikan agama. Kesemua mererka diberikan didikan agama yang sempurna.

Ketika masih kecil, mereka telah dididik untuk menjaga solat dan selalu mengaji Al-Quran tetapi segalanya berubah apabila Zila mula masuk ke alam universiti. Zila mula jarang-jarang solat dek kerana sibuk dengan belajar. Katanya tidak sempat solat dan makin lama sudah tidak menyentuh Al-Quran. 

Dirinya mula dibuai mimpi-mimpi indah anak remaja yang meningkat dewasa. Mula ada kekasih, mula memakai pakaian yang tidak sesuai sebagai seorang wanita Muslimah. Jika dirinya pulang ke kampung, Zila akan selalu menipu ibu bapanya yang mengatakan dirinya uzur jika ditanya pasal solat.

Sesungguhnya, sesuatu yang terjadi ada sebabnya. Ketika di tahun akhir pengajiannya, dirinya diuji dengan kehilangan ibunya yang tercinta. Di saat itu, dunia Zila bagai gelap gelita kerana ibunya yang selalu menjadi tempat mengadu telah hilang. Mulai saat itu, hidup Zila mula berubah.

Zila mula menjadi murung dan mengurungkan dirinya di dalam bilik dan tidak ingin berjumpa dengan sesiapa. Ayahnya dan adik-beradiknya mula bergilir memujuknya untuk bertenang dan ingat Allah. Tapi pujukan mereka tidak diendahkan. Zila mengurugkan dirinya tanpa makan dan hanya minum sedikit air.

Akhirnya, di saat dirinya terasa sangat sepi dan kosong, Zila melihat tasbih ibunya yang diberikan kepada Zila di sisi katilnya dan mula menangis. Zila merasakan dia sudah tiada tempat mengadu dan hanya menangis tanpa suara kerana kepenatan dari segi emosi dan fizikal.

Pada saat itu, di tepi katilya ada Al-Quran yang telah lama berhabuk dek kerana telah lama tidak disentuh dan dibaca. Akhirnya, Zila memeluk kalam Allah itu sambil sebak hatinya dan menyebut, " Allah", "Allah","Allah" dan akhirnya dia tertidur sambil memeluk Al-Quran yang sudah lama ditinggalkannya.

Tiba-tiba, Zila tersedar kerana kedengaran azan berkumandang dan untuk kali pertama hatinya berasa begitu tenang dan damai setelah lama tidak merasakan perasaan itu. Dengan linangan air mata, Zila mula mengambil wuduk dan melakukan solat Subuh. Di dalam doanya, Zila bersyukur kerana Allah menyayangi dirinya lagi dengan menarik dirinya kembali ke pangkal jalan setelah lama terkeluar dari landasan.

Zila mula menjaga solat dan belajar mendalami ilmu Al-Quran terutamanya dalam bab tajwid dan tadabbur setiap surah untuk memahami lebih mendalam kalam Allah ini. Sesungguhnya, inilah ujian dalam kehidupan. Allah menyentap diri kita dengan ujian hanyalah untuk mengingatkan kita bahawa Allah sentiasa ada bersama kita.

Allah Maha Satu dan tiada sekutu bagiNYA. Kita dihadirkan di negeri bernama dunia dengan cintaNYA. Hidup kita juga ditadbir dengan cintaNYA dan kita akan berlayar pulang ke negeri abadi (akhirat) pun dengan cintaNYA. Sesungguhnya manusia boleh hidup tanpa cinta manusia, namun mana mungkin manusia boleh hidup tanpa cintaNYA. Kematian bukanlah kehilanga melainkan hanyalah sebuah perpindah ke negeri hakiki dan ianya akan memberi peringatan kepada sang musafir yang masih bermusafir di negeri ini. Itulah sebuah kematian yang mengingatkan.

Sekian, terima kasih.


Karimah Abdullah
Kuasai Minda dan Hati,
Pasti Akan Kuasai Dunia.



No comments:

Post a Comment