Monday, 30 January 2017

Kelas Asas Blog dan Penulisan

Alhamdulillah, akhirnya selesai tugasan yang diberikan oleh kak Masayu Ahmad sepanjang menyertai kelas asas blog dan penulisan. Selama 20 hari bermula 10/1/2017 sehingga 30/1/2017 sebanyak 44 entri. Ini adalah kelas pertama saya serta tentang kelas asas blog dan penulisan secara online. Banyak perkara yang saya belajar selama menyertai kelas ini.

Pertama kalinya, saya ingin berterima kasih kepada kak Masayu kerana sudi mengambil saya sebagai salah seorang pelajar untuk kelas ini. Walaupun dalam kesibukannya dalam mengurus rumah tangga, usahawan dan penulis, masih lagi sanggup mengajar saya dan rakan-rakan alumni bekerja dari rumah yang lain.

Ok, antara perkara yang saya belajar sepanjang proses belajar adalah mengenai bagaimana untuk mencari idea dan menulis. Sebenarnya, saya jenis yang banyak sangat idea sehingga kadang-kadang menjadi "overload" yang hanya bermain di fikiran. Setelah menyertai kelas ini, saya belajar bagaimana unutuk mendidik diri supaya istiqamah menulis idea di atas kertas atau di mana-mana, agar idea itu dapat dikembangkan dan dioleh dan ditulis.

Seperti yang kak Masayu ajar untuk sekurang-kurangya mengambil 10 minit setiap hari untuk menulis idea dan kemas kini di blog. Saya seorang yang kurang gemar online dan ada waktu-waktu tertentu sahaja saya ber "online". Jadi,saya sangat bersyukur kerana ada mentor yang "push" saya untuk menulis blog. Kak Masayu melihat perkembangan blog dari semasa ke semasa. Jadi, tekanan itu menjadi batu loncatan untuk saya terus cuba istiqamah menulis selama 20 hari ini.

Amalan atau tabiat yang diamalkan selama 21 hari atau 40 hari secara istiqamah akan menjadi tabiat semula jadi. Jadi, saya doakan diri rakan-rakan yang menyertai kelas ini pada sesi ini dan sesi akan datang serta diri saya sendiri, akan jadi penulisan blog sebagai tempat perkongsian ilmu dan pengalaman dan istiqamah hingga ke akhirnya.

Kadang-kadang, sesuatu perkara itu bukanlah kita tidak tahu tapi kita perlukan sedikit tekanan daripada orang lain dan "inner circle " (persekitaran) yang membantu untuk kita terus mulakan sesuatu pekerjaan atau tabiat dan istiqamah.

Melalui kelas ini, juga saya mengenali beberapa orang sahabat yang hebat seperti kak Maziana, kak Nelly walaupun tidak sempat bertegur sapa tapi sekurang-kurangnya kita ada berjemaah di bawah bumbung yang sama (Alumni Bekerja Dari Rumah). Semoga lepas ini, kita boleh berkenalan dengan lebih rapat lagi, InsyaAllah.

Untuk bahagian, teknikal tentang penulisan blog saya, bagi 10 bintang untuk kak Masayu kerana menerangkan secara detail bagaimana untuk menulis blog, cara upload entri dan gaya bahasa yang perlu digunakan. Syabas Kak Masayu.

Saya juga banyak memperbaiki gaya bahasa penulisan saya, walaupun masih lagi menggunakan bahasa campuran tapi saya mencuba untuk belajar menggunakan bahasa yang penuh dan menggunakan Bahasa Melayu tinggi sepanjang menyertai kelas ini. InsyaAllah, saya akan memperbaikinya dari semasa ke semasa.

Akhir kata, sekali lagi saya ingin berterima kasih kepada kak Masayu Ahmad kerana memberi peluang untuk saya belajar daripada akak. Tidak lupa juga kepada semua sahabat-sahabat dari group Tutorial Asas Blog & Penulisan, walaupun kita mengenali satu sama lain tetapi berada dalam lingkungan anda semua, membuat saya bersemangat menghabiskan cabaran ini dan akhirnya semoga diri ini istiqamah dalam penulisan blog. Bagi saya, kita bukanlah sedang bertanding dengan pihak lawan tapi sebenarnya yang kita bertanding adalah dengan diri sendiri untuk jadi lebih baik dari hari ke hari.

Saya doakan kak Masayu Ahmad dideraskan rezeki dalam apa jua bidang yang diceburi terutamanya dalam bidang penulisan serta dapat membangunkan umat ini dengan ilmu penulisan. Itulah antara saham kita yang akan dibawa pulang ke negeri abadi. Berkongsi ilmu itu sangat mahal nilainya, daripada tidak tahu kepada tahu. Sesungguhnya, akak dipilih Allah untuk menyampaikan ilmu yang mampu menghidupkan hati-hati manusia. InsyaAllah, saya doakan akak berjaya di dunia dan akhirat. Saya doakan sahabat-sahabat Alumni Bekerja Dari Rumah juga dideraskan rezeki dan dipermudahkan urusan di dunia dan akhirat serta kita dapat berkenalan dengan lebih rapat lagi pada masa depan.InsyaAllah.

Yang baik adalah ilham daripada Allah dan salah silap adalah kelemahan saya sendiri. Sekian, terima kasih.


Karimah Abdullah
Kuasai Minda dan Hati,
Pasti Akan Kuasai Dunia



No comments:

Post a Comment